KOTA BHARU: Kerajaan negeri menambah baik program Madinah Ramadan tahun ini dengan mempergiatkan promosi dan meningkat kemudahan kemudahan untuk keselesaan jemaah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) akan menyediakan tandas mencukupi.

Selain itu mengadakan iklan program setiap hari dan promosi lebih awal serta diperluaskan di setiap daerah.

“Program tersebut tahun ini diadakan kolaborasi awal dengan syarikat swasta dan agensi-agensi kerajaan.

“Pihak terbabit akan mewujudkan kiosk-kiosk yang menawarkan perkhidmatan kepada pengunjung dan ahli-ahli jemaah yang hadir,” katanya di sini.

Program Madinah Ramadan diadakan setiap kali sambutan Ramadan di Kelantan bermula pada 1993 di Dataran MPKB di Jalan Padang Garong.

Bagaimanapun program itu dipindah ke Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV selepas mendapat sambutan menggalakkan.

Malah Program Madinah Ramadan Kota Bharu mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima anugerah ‘Produk Pelancongan Terbaik Asia Pasifik 2013’ pada perhimpunan agung Tourism Promotion Organization For Asia Pacific Cities (TPO) dan TPO Daejeon International Travel Fair di Korea Selatan.

Hilmi juga berkata, program Madinah Ramadan merupakan program mega tahunan kerajaan negeri, di mana MPKB-BRI menjadi urusetia sepanjang Ramadan di Dataran Warisan.

“Tema Madinah Ramadan tahun 2025 diambil kira sempena sambutan dua dekad diisytiharkan sebagai Kota Bharu Bandar Raya Islam.

“Pada mesyuarat yang diadakan baru-baru ini taqwim program sepanjang Ramadan turut dibentang dan memperdengar rakaman bacaan Al-Quran bertaranum oleh imam-imam dari Mesir yang mendapat sanad dari Universiti Al-Azhar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025