SEJARAH KHEMAH TERAWIH MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU –BANDAR RAYA ISLAM ( MPKB-BRI ) PROGRAM SEMARAK IHYA' RAMADHAN DI BUMI SERAMBI MEKAH.

Sejarah penempatan tapak khemah terawih telah bermula sejak awal tahun 1991 lagi, selaras dengan perlaksanaan dasar Kerajaan Negeri Kelantan iaitu 'Membangun Bersama Islam'. Maka Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam ( MPKB-BRI ) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah menyambut dasar baru ini dengan mengorak langkah ke arah merealisasikan dasar tersebut dengan merangka pelbagai program berbentuk pembangunan kerohanian sepanjang bulan Ramadhan. Ianya bertujuan untuk menghidupkan lagi ruh ibadah dalam kalangan masyarakat.


Pada Ramadhan tahun 1994, solat terawih berjamaah bermula dikaki lima jalan dengan hanya sebuah khemah bersaiz 8' x 6' yang dapat menampung 15-20 orang sahaja. Ia diletakkan di Jalan Pendek dalam kawasan stesen bas di tengah-tengah kawasan bandar Kota Bharu. Kerjasama MPKB-BRI melalui Unit Pembangunan Islam pada mulanya hanya menyediakan air minuman dan buah tamar kepada para musafir yang tiba di perhentian bas dan untuk mereka yang tidak sempat pulang berbuka serta bersolat maghrib di rumah. Ketika itu, khemah yang disediakan hanya untuk berbuka puasa dan solat maghrib sahaja bagi memastikan  masyarakat tidak ketinggalan untuk beribadah di bulan Ramadhan.
Daripada usaha yang sekecil ini, Alhamdulillah MPKB-BRI telah melahirkan kesedaran dikalangan golongan masyarakat yang  bersungguh-sungguh untuk mengimarahkan Madrasah Ramadhan setiap tahun. Daripada sini, MPKB-BRI mengambil langkah proaktif dengan meletakkan khemah yang lebih luas dan terbuka bagi menampung jumlah jemaah yang lebih ramai. Inisiatif ini bukan sahaja disediakan untuk berbuka puasa sahaja, malah masyarakat juga dapat menunaikan solat maghrib diikuti solat terawih. Walaupun di tengah-tengah kesibukan manusia yang mundar-mandir, usaha ini dapat menyebarkan syiar Islam keseluruh pelusuk negeri Kelantan khususnya.


Maka bermula daripada tahun 1995 hingga tahun 2004 MPKB-BRI telah menyediakan khemah yang boleh memuatkan antara 500 hingga 800 jemaah untuk solat terawih di Dataran MPKB bersebelahan Stesen Bas Kota Bharu dan Pasar Malam Parit Dalam. Khemah ini diisi dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang bulan Ramadhan antaranya, berbuka secara berjemaah, solat maghrib, solat isya' dan solat terawih bersama imam-imam terpilih. Di samping itu, ia juga diisi dengan majlis-majlis ilmu seperti tazkirah, forum dan ceramah bersempena dengan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dalam sejarah Islam.
Sehubungan dengan itu, perkataan Ihya' Ramadhan telah diperkenalkan dan tabung program Ihya' Ramadhan dilancarkan dengan jayanya. Sumbangan-sumbangan daripada pihak-pihak tertentu dapat menampung kos perbelanjaan program bersama masyarakat sepanjang aktiviti Ihya’ Ramadhan berlangsung.


Pada tahun 2005, khemah untuk solat terawih dan aktiviti program Ihya' Ramadhan kemudiannya dipindahkan ke Dataran Stadium Sultan Muhammad IV berikutan oleh pembinaan bangunan Kelantan Trade Centre di tapak Dataran MPKB.  Dengan keluasan tempat di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV menjadikan program Ihya' Ramadhan semakin mendapat sambutan berikutan kawasan yang lebih umum dan mudah dikenali. Ditambah dengan pelbagai pengisian berbentuk ilmiah, kempen turut diperhebatkan kepada masyarakat yang rindukan tarbiyah Ramadhan. Khemah khas untuk berbuka puasa disediakan dan dahulunya ia dikenali sebagai Maidatur Rahman.
Pada tahun 2007, MPKB-BRI telah menaik taraf insfrastruktur daripada khemah biasa kepada khemah berhawa dingin yang dapat menampung sehingga 1,800 jamaah dalam satu masa. Dalam masa yang sama, khemah khas masih dikekalkan untuk aktiviti berbuka puasa. Sejak dari itu, aktiviti program Ihya' Ramadhan mula mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak dan masyarakat sekeliling.


Pada tahun 2009, MPKB-BRI telah melangkah selangkah lagi ke hadapan, bukan sahaja dengan menggandakan keluasan tapak khemah solat terawih sehingga dapat memuatkan 2,800 jemaah dalam satu masa, malah MPKB-BRI telah membuat keputusan untuk menjemput Imam yang lebih berwibawa daripada negara Mesir. Bermula pada tahun itu, program Ihya' Ramadhan telah dinamakan sebagai Qaryah Ramadhan. Bersempena dengan itu, MPKB-BRI telah berintegrasi dengan kerajaan negeri untuk mengisytiharkan program di Qaryah Ramadhan ini sebagai 'Ibadah Tourism' atau pakej pelancongan Ibadah ke Serambi Mekah sempena dengan Tahun Melawat Kelantan 2008.
Pada Tahun 2012 dan 2013, khemah terawih di Qaryah Ramadhan diperluaskan lagi bagi memuatkan 3,000 jemaah di dalam khemah berhawa dingin dan 800 orang di halaman terbuka di serambi luar khemah yang dihiasi landskap.
Bermula pada tahun 2009 hingga 2013, Program Ihya' Ramadhan di Qaryah Ramadhan mula menjadi program mega dianjurkan Kerajaan Negeri Kelantan, yang mana MPKB-BRI dan JAHAEIK dilantik sebagai agensi utama pelaksana kepada Program Ihya' Ramadhan. Program ini juga turut dibantu para sekarelawan yang ingin berkhidmat sebagai pemudahcara kepada masyarakat yang hadir ke program tersebut.


Selangkah demi selangkah. Kini, Program Ihya' Ramadhan 1435H/2014M yang bertapak di Perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV telah ditukar nama daripada Qaryah Ramadhan kepada Madinah Ramadhan. Program ini turut diberi peruntukan tahunan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan bumi Kelantan setiap tahun dapat dihidupkan sepanjang bulan Ramadhan. Perubahan ini adalah langkah yang signifikan untuk memantapkan lagi pemerkasaan program Ihya’ Ramadhan dan menjadi garapan penting demi melahirkan modal insan yang celik Ilmu dan seterusnya dapat mendaulahkan Islam pada masa yang akan datang.


Tahun ini adalah tahun ke-32 penganjuran Madinah Ramadhan, di negeri Serambi Mekah, bumi Che Siti Wan Kembang. Insha Allah, kami mengalu-alukan kehadiran anda ke Madinah Ramadhan tahun 1445 Hijrah ini untuk kita sama-sama hidupkan syiar Islam dan menggambil keberkatan sepanjang Ramadhan Al-Mubarak. Insha Allah..